“Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)
Aku kepenatan...
Maklong memerlukan jagaan yang sangat rapi. Maklong perlu dikurung di dalam biliknya yang telah dikosongkan. Hanya tinggal sebuah katil yang masih ada di dalam bilik itu untuk maklong berbaring atau tidur. Semua barang-barang lain dan perabot-perabot terpaksa dikeluarkan dari bilik memandangkan maklong banyak kali mencuba untuk mencederakan dirinya. Dia juga beberapa kali mencuba untuk mencekik adik dan menolak aku dari tangga. Satu rumah takut pada maklong seperti takut kepada hantu. Pintu bilik maklong sentiasa dipastikan terkunci.
Setiap kali waktu makan tiba, aku dan mak bah akan berdua-duaan masuk ke bilik mak long. Kami terpaksa bergelut sehingga penat barulah dapat menyuapkan makanan ke mulut maklong. Seksa benar hendak memberi makan. Selepas makan kami akan membersihkan najis yang bertabur di bilik maklong. Pintu tandas terpaksa dikunci kerana bimbang maklong mencederakan dirinya kalau dibiarkan dia ke tandas sendirian. Selepas itu kami akan memandikan maklong. Kalau dimandikan sebelum najis-najis dicuci, maklong akan bergelumang bermain najis apabila terlepas dari kami yang sedang memandikannya. Pening kepala..
Maklong menyanyi lagu-lagu yang aku sendiri tidak pernah dengar. Entah wujud atau tidak lagu itu sebenarnya.
Bagai terkurung kesepian..
Bagai berabad menantimu..
Dimanakah engkau pujaan hatiku..
Lekaslah selamatkan aku..
Mak Bah menggelengkan kepala. Suara maklong sedap juga. Dia menyanyi mendayu-dayu sepenuh hati hingga menangis seolah benar-benar memaksudkan setiap bait lagu itu.
Entahlah..
Itu kisah maklong. Kisah abang Mil lain pula. Semangat abang Mil naik turun. Hari ini bersemangat dan ceria, hari esok murung dan menangis. Lusa pula semangat kembali.. kebanyakkan masa aku tumpukan kepada mak long. Kesian juga melihat abang Mil yang terpinggir tanpa perhatian. Tidur malam abang Mil meracau-racau. Abang Mil adalah penonton setia sketsa aku dan maklong bergelut. Dia akan menangis setiap kali mendengar suara maklong menjerit-jerit. Aku yakin bukan abang mil sahaja yang akan menangis, sesiapa sahaja yang menyaksikan sketsa itu pasti menangis,kecuali aku dan makbah.
“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Aku masih belum berputus asa dengan abang Mil. InshaAllah dia akan pulih. Dia perlu berdisiplin menjalani latihan fisioterapi. Aku juga bersalah kerana semenjak mak long balik, abang Mil agak aku abaikan.
“Abang Mil..”aku menegur abang Mil.
Kelihatan rambutnya sudah panjang menutup tepi telinganya dan melepasi kolar bajunya. Abang Mil membatu sahaja seolah tidak mendengar panggilan aku.
“Jom kita keluar jalan-jalan nak..?”aku bersuara lembut.
Aku duduk mencangkung di hadapan dia. Sakit tulang belakang aku kerana baru lepas sesi mengemas bilik maklong yang sangat melenguhkan satu badan. Abang Mil memalingkan wajahnya seolah membenci aku. Aku berdiri dan menolak kerusi roda abang mil keluar dari bilik. Ini adalah cubaan memujuk yang selalunya berjaya. Abang Mil mahukan perhatian.
Aku menolak kerusi roda abang Mil keluar dari rumah banglo atas bukit. Petang yang indah dengan nikmat angin yang menghembus ke wajah. Tenang…
Abang Mil masih membisu.
“Kita pergi bandar nak? Jalan-jalan, makan-makan,”pujuk aku. Tiada sebarang reaksi dari abang Mil.
“Kita pergi potong rambut.. dah panjang ni, nanti biar kemaskan supaya nampak hensem..”pujuk aku lagi.
“kita bawa bang chik dan adik sekali..”
“kita pergi pizza ya..”
“tapi semalam adik kata dia teringin nak makan di Kenny Rogers.. hmm.. abang nak makan di mana?”
Abang Mil diam. Bagus betul.. aku sedang bercakap sendirian.
Laut yang luas berombak tenang memukul pantai. Dari atas bukit kelihatan sebuah feri bergerak melintas lautan untuk ke seberang. Aku duduk di atas sebuah batu sambil merenung jauh memerhatikan laut yang membiru. Luasnya lautan ini. Aku ingin punya jiwa yang besar. Aku ingin punya ruang hati yang luas supaya aku dapat menahan rasa di dalam dada tanpa perlu aku mengeluh.
Ya Allah… setiap perkara yang menimpa diri ini, aku tahu semua ini ada hikmahnya. Ya Allah.. tidak aku terdaya lagi menahan dugaan yang mencabar ini. Aku sudah tidak mengharap ujian ini akan berakhir. Aku redha. Biarlah apapun yang berlaku selepas ini, aku akan berlapang dada.
******
Adik pulang dari sekolah dengan wajah yang masam mencuka. Sebaik sampai di pintu rumah dia terus mencampakkan beg ke lantai.“Eh, beg simpan di bilik,”tegur mak bah.
Adik tidak mempedulikan kata-kata mak bah. Aku mengintai dari dapur cuba melihat apa yang berlaku. Adik berlari kea rah aku dan memeluk pinggangku. Wajahnya ditekup ke perut aku. Tangan aku masih comot dengan bau ikan yang baru disiang.
“kenapa ni sayang?”aku memujuk.
Adik menangis.
“adik, kejap-kejap, kak wana nak basuh tangan..”aku bergerak ke sinki dapur tetapi adik makin kuat memeluk pinggang aku. Aku tidak dapat bergerak. Mak bah muncul di pintu dapur. Wajahnya sedih. Tentu ada sesuatu yang telah berlaku.
“Mana bang chik?”tanya aku.
Adik masih terus menangis. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi motor Ad. Ad masuk bersama bang chik.
“Wana.. ”Ad memanggil. Aku menyahut tetapi tidak boleh bergerak. Adik menangis semakin kuat. Sedih benar gamaknya.
“Cikgu Azmah tanya, wana nak sekolah lagi ke tidak?”soal Ad.
Berpeluh dahinya kepanasan. Butang bajunya terbuka menampakkan singlet putih di bahagian dalam. Selekeh.
Soalan cepu emas. Musim bersekolah sudah bermula sementara aku lansung tidak tunjuk muka semenjak hari pertama. Ad berdiri agak lama memandang wajah aku. Aku membalas dengan pandangan meminta jawapan dari dia. Dia faham situasi aku. Dia tahu akulah orang kuat yang menguruskan ibu dan abangnya yang sudah uzur.
“Nanti Ad bincang dengan abang Im lah..”Ad memberi jawapan. Aku tunduk. Rasa seperti hendak turut serta bersama adik menangis.
Ad tunduk melihat adik.
“Dah la adik.. ”pujuk Ad. Beginikah cara lelaki memujuk? Dia lansung tidak menyentuh adik.
“bising lah..”sambung Ad lagi.
“kenapa dengan dia?”soal aku.
“tadi…”Ad seperti berat untuk bercerita. Ad memang pendiam. Kebanyakkan masa dia tiada di rumah.
“kenapa?”desak aku.
“ada kawan dia kata mak dia gila.. tu je.”jawab Ad.
Ad berlalu sambil berlari anak kea rah tanngga menuju ke biliknya. Seketika kemudian terdengar bunyi pintu bilik ditutup.
Aku duduk mencangkung dan memeluk leher adik dengan kedua belah lengan. Wajah adik merah. Terluka benar adik dengan kata-kata kawannya.
“Sabarlah dik… Allah sayang adik, sebab tu Allah uji..”
No comments:
Post a Comment