apakah impian anda dalam hidup ini?
adakah anda yakin impian itu akan ditunaikan?
adakah berbaloi kita mengimpikan sesuatu yang belum pasti kita miliki?
hidup ini ibarat sebuah malam yang panjang.. gelap dan menakutkan. ramai orang yang meraba-raba dalam kegelapan malam. ramai orang yang tersungkur ke dalam lubang kerana tidak jelas penglihatannya. apa yang pasti semua orang meyakini siang akan tiba dan kegelapan ini akan berakhir...
namaku Wana.. maksud namaku?
entah. ini bukan nama sebenar. nama sebenar hanya tercatat di sehelai surat beranak yang tak pernah berfungsi.
aku dilahirkan tanpa sempat aku kenal siapa ibuku. aku juga tidak tahu siapa ayahku. langsung tidak pernah terlintas di hati ini untuk mengenali siapa ibu dan ayahku.
perlukah? tak ada sebab..
aku membesar bersama dua orang sepupuku di pondok opah. seorang daripada sepupuku kini sedang ditahan di pusat pemulihan akhlak. manakala seorang lagi sudah melarikan diri bersama teman lelakinya. aku tinggal bersama opah yang sudah tenat. opah tidak sekuat dulu, demam-demam hampir setiap minggu. opah masih sibuk mahu ke kebun di sekeliling rumah walaupun demamnya masih belum kebah. setiap hari sabtu, Chong si tauke akan datang ke rumah opah untuk mengambil serai, halia, daun pandan, dan pelbagai lagi untuk dijual di pasar. terkengkang-kengkang opah yang tua itu akan pergi membawa parang untuk mengerjakan kebunnya..
aku benci melihat wajah opah kepenatan..
aku benci melihat badan opah menggigil kesejukan..
aku benci melihat opah menyediakan nasi putih dengan garam sebagai hidangan...
aku benci melihat kehidupan kami yang susah ini..
tetapi apa yang mampu aku lakukan?
aku tidak mampu untuk ke sekolah seperti anak-anak yang lain.. sepupuku pernah ke sekolah tetapi kemudiannya dia berhenti. dia kata sekolah itu tempat orang-orang yang kaya.. orang-orang yang tak berduit seperti kami lebih baik bekerja mencari sesuap nasi. kemudian sepupuku telah melakukan pelbagai kerja sambilan termasuklah menjual badan. akhirnya dia telah dicekup oleh JAIS..
aku tidak secantik sepupuku. bila aku berjalan, tiada sesiapa yang akan pandang. aku cumalah si comot yang merayau-rayau memunggah sampah mencari tin-tin kosong dan kotak untuk di jual. badan aku berbau busuk seperti sampah-sampah yang aku pungut.. setiap hari inilah kerjaku.. aku akan keluar di awal pagi sebelum matahari terbit kerana aku perlu berjalan jauh ke tengah bandar.. kampung kami agak terpencil, selalunya aku berjalan sejam untuk ke bandar.. sebelum kanak-kanak keluar waktu rehat, aku akan pulang semula ke rumah dan bersarapan bersama opah..
sebolehnya aku tidak mahu terserempak dengan manusia lain.. sebolehnya aku akan berusaha melalui lorong yang orang lain tidak lalu. sebolehnya aku akan menyorok di sebalik dinding apabila ada orang melintas..
ahh.. aku benci melihat manusia lain begitu bahagia.. mereka ada keluarga yang aku tiada.. mereka ada tempat tinggal yang aku tidak pernah miliki.. mereka ada segalanya yang indah-indah.. mereka dapat apa sahaja yang mereka mahukan..
sudah puas aku berfikir tujuan hidupku. akhirnya aku buntu. mengapa tidak sahaja aku terjun dalam sungai dan mati? mengapa tidak sahaja aku berjalan di tengah jalan dan membiarkan lori besar melanggarku? mengapa aku tidak boleh membuat itu semua??
mengapa mesti penderitaan ini dibiarkan berterusan???
mengapa aku???
opah melintas di hadapan wajahku.. senyumannya mengubat luka yang bernanah di hatiku.
jawapan kepada persoalanku ada di hadapanku.
aku perlu hidup untuk opah..
opah semakin tenat.. demamnya semakin kuat. aku masih setia menemani opah meskipun sudah banyak kali opah suruh aku berpindah ke bandar. air mata ini sudah kering untuk mengalir.
malam ini hujan lebat. bunyi-bunyi guruh kedengaran begitu kuat seolah saling berlawan antara satu sama lain. tangan opah sejuk.. opah tidak bergerak. bubur nasi juga tidak lagi dijamah. apabila aku menyuap bubur ke mulut opah, bubur itu akan keluar meleleh ke leher opah.. opah seperti sudah tidak mahu lagi meneruskan perjuangannya di dunia yang kejam ini. dia seolah sudah bersedia untuk pergi jauh.
bibir tua opah bergerak perlahan. suaranya tidak kedengaran. tubuh opah sejuk. aku tidak sedar bilakah aku terlena. sedar-sedar sahaja rupa-rupanya opah sudah pergi menghadap yang menciptakan dia..
opah...!!!!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment